« June 2006 | Main | October 2006 »

September 30, 2006

Berbangga dengan gelaran HAMBA..

     Kala ini, jam 4 pagi setelah 'daylight saving' bermula, mata saya masih belum mahu lelap menerbangkan diri ke alam mimpi..entah kenapa, badan terasa penat, namun mata masih tidak mahu tidur. Harap-harap 'biological clock' saya tidak berubah lagi..

    Sejenak terkenang peristiwa hitam 27 September, Alhamdulillah saya kini beroleh kekuatan dan keupayaan untuk meneruskan kehidupan dengan redha tanpa mempersoalkan nasib yang menimpa. Saya teringat suatu cerita, seorang bapa di Kedah, anak perempuannya dirogol dan dibunuh oleh PATI Indon, (Pendatang Asing Tanpa Izin). Bapa itu meratap sedih lantas mempersoalkan taqdir, mengapa suratan sebegitu rupa harus menimpa dirinya....Dalam suatu ketika lain, saat Tsunami melanda yang menyaksikan gelombang ombak itu menelan dan mengebumikan beratus-ratus nyawa, muncul seorang bapa menjawab persoalan pemberita akan kematian kesemua ahli keluarganya. Dengan tenang dan penuh kesabaran, beliau menjawab...semuanya itu adalah pinjaman Allah, sekarang telah tiba masa Allah mengambilnya semula...Mendengar jawapan itu, hati saya tersentuh dan terharu...betapa kuatnya jiwa si ayah itu. Saya pasti, jawapan itu adalah gambaran jiwa dan hatinya yang betul-betul yakin dan percaya akan taqdir Allah yang maha indah. Cuba kita bayangkan, keluarga yang telah dibina dengan jerih penat selama berpuluh-puluh tahun hilang dalam masa beberapa minit sahaja di hadapan mata.  Andai kita berada di tempat  si ayah itu, tanpa jiwa yang kuat, mampukah kita  menerimanya dengan redha, lantas menzahirkan sebuah jawapan setabah itu?

    Persoalan ini sebenarnya menyentuh kesedaran akan hakikat diri kita sebagai hamba Allah di dunia ini. Ibarat seorang hamba raja yang diberikan makan, perlindungan dan pakaian, dia menggunakan segalanya tanpa rasa memiliki secara kekal akan nikmat-nikmat yang dikecapinya itu. Lantas, bila sahaja nikmat itu diambil semula, dia tetap berasa bersyukur kerana pernah menerima nikmat itu selama ini. Apakah relevannya dengan realiti hidup kita hari ini? Ya, kita adalah hamba kepada Raja segala Raja. Allah Subhanahu Wata'ala. Dia lah Tuhan yang memberikan rezeki dan nikmat tanpa berkira-kira kepada kita sejak di alam rahim lagi, (Alam rahim adalah alam kasih sayang seorang ibu kepada anaknya). Nikmat demi nikmat dilimpahkan, tanpa mengira kita bersyukur, lupa, mahupun mendustakannya. Namun, Nikmat adalah ujian. Kerana itu ramai manusia terlupa akan dua perkara:
1) dirinya masih lagi seorang hamba
2) nikmat yang dikecapi  tiada satu pun miliknya yang hakiki

    Oleh kerana mereka terlupa akan 2 perkara penting ini, maka mereka menjadi cinta kepada nikmat dunia, sehingga terlupa kepada pemberi nikmat itu sendiri. Umpama seseorang yang terlalu memuja sesebuah hadiah, lebih daripada pemberi hadiah itu sendiri. Pelik bunyinya bukan? tetapi hakikatnya itulah yang berlaku pada manusia kebanyakan...

    Saya teringat akan cerita seorang pengembala dan kambing-kambingnya yang banyak. Menariknya, pengembala ini menternak kambing-kambingnya mengikut kelompok-kelompok keluarga. Setiap keluarga kambing, ditempatkan di dalam kandang berasingan. Suatu hari si pengembala ingin menyembelih 4 ekor anak kambing daripada sebuah unit keluarga. Maka si pengembala itu pun bertanya kepada kedua ibu bapa kambing itu,"Bolehkah saya menyembelih 4 ekor anak-anak kamu?". Maka apakah jawapan ibu kambing yang menyayangi anak-anaknya itu? Sudah tentu tidak, kerana ia amat kasihkan anak-anaknya yang comel dan manja, walaupun mandi bukan kebiasaan harian mereka. Persoalannya di sini, wajarkah si pengembala itu bertanyakan soalan sedemikian kepada ibu dan bapa kambing-kambing itu? Jawapannya tentulah tidak wajar, bahkan tidak perlu, lantaran bukan sahaja anak-anak kambing itu, malah kedua ibu-bapa mereka juga adalah milik si pengembala. Terpulanglah kepada pengembala itu untuk melakukan apa sahaja, mengikut kehendak dan kebijaksanaannya. Allah S.W.T adalah pemilik hakiki setiap makhluk di muka bumi. DIA lah pemilik si anak, ibu, bapa, bahkan sehingga nenek moyang berabad generasi lamanya. Dia berhak melakukan apa sahaja mengikut kehendak dan kebijaksanaan-Nya. Sebagai hamba, apakah kita layak untuk mempersoalkan qada' dan qadar Allah, hanya kerana ia membunuh rasa selesa kita hidup di dunia ini? Pastikah kita bahawa setiap sesuatu yang kita suka membawa kebaikan kepada kita atau sebaliknya? (rujuk 2:216) Inilah jawapan kepada si ayah yang meratapi kematiannya anaknya seperti yang disebutkan sebelum ini.

    Sedarlah, bahawa diri kita adalah HAMBA ALLAH. Meskipun kita KAYA, biarpun kita SIHAT, walaupun kita BERKUASA, namun semuanya itu tidak seharusnya membiaskan kita daripada mengenali hakikat diri yang sebenar. Kita tetap hamba. Redha dan bersyukur dengan gelaran itu.  Untuk menjadi redha, kunci yang perlu dipegang adalah BERSANGKA BAIK kepada Allah S.W.T. Biarpun terkadang sukar, namun berusahalah untuk meyakininya. DIA adalah seperti mana sangkaan hamba-Nya. Dengan itu, insyaAllah, kita akan mampu menerima segalanya dengan tenang dan sabar, seperti mana si ayah yang redha menerima pemergian kesemua ahli keluarganya..Moga SIKAP ini menjadi contoh teladan buat kita di hari muka...

                            

September 29, 2006

Rahmat ujian ini...

    "Harus ada rasa bersyukur, di setiap kali ujian menjelma..itu jelasnya membuktikan Allah mengasihimu setiap masa"  ...Bait lagu ini begitu jelas terngiang-ngiang di minda setiap saat dan masa...Alhamdulillah, masih gagah jua diri ini untuk melafazkan rasa syukur...syukur tidak terhingga atas ujian yang singgah menjengah tahap kesabaran dan tawakal kepada Allah S.W.T.  Sesungguhnya kala ini terasa benar rahmat kasih sayang Allah  yang melimpah ruah,  lantaran mampu tersenyum dan berasa tenang di sebalik  musibah yang  menimpa.

    Malam itu ketika berada di bengkel, saya merasakan sesuatu yang tidak kena berlaku. Puas saya mengambil langkah berhati-hati semasa menggunakam mesin 'lathe', tetapi kemalangan berlaku juga. Hati saya menyatakan sesuatu yang buruk mungkin terjadi. Saya tidak tahu kenapa, tetapi rasa itu terlalu kuat sehingga menyebabkan saya hilang mood untuk membuat kerja. Jam 10, Iqbal menelefon, tanyakan bila bengkel saya tamat. Jam 10.30, setibanya saya di rumah, perasaan menjadi  berdebar-debar pula. Di ruang tamu, ramai rakan-rakan telah berkumpul. Semuanya menyuruh saya bersabar. "Instinct" saya semakin kuat. Setibanya di pintu bilik, pemandangan saya membenarkan apa yang saya rasa buat sekian lama. Malam itu, rumah kami telah dipecah. Barang-barang saya paling banyak diambil. Laptop, kamera digital, 3 pasang jam, handphone,webcam, ipod shuffle, wang tunai dan beg antara item yang 'selamat' dibawa lari..Perasaan bercampur baur. Laptop yang di dalamnya terdapat dokumen-dokumen penting, gambar-gambar kenangan, jam tangan pemberian abang saya, kamera yang saya beli dengan menggunakan wang simpanan selama berbulan-bulan...setiap satunya mempunyai 'sentimental value' yang tersendiri...Tidak tahu apa hendak dikata. Keadaan amat sukar buat diri saya untuk menjadi tenang di kala itu. Hendak marah, tidak berguna. Hendak menyesal pun tiada hasilnya. Saya menjadi semakin tertekan apabila cuba menghubungi keluarga di tanah air, tetapi gagal semuanya. Mujurlah ada mereka yang menenangkan perasaan. Saya bersyukur.

    Lantaran tidak tahu apa yang harus dibuat, saya menunaikan solat dan membaca al-Quran. Baca semahu-mahunya. Hayati segala maksudnya. Kebetulan ayat yang dibaca bertepatan dengan apa yang sedang terjadi. Saya menangis terharu, Allah memberikan bantuannya pada jalan yang tidak disangka-sangka. Sejurus membaca ayat-ayat suci itu, perasaan saya berubah menjadi tenang. Saya mula dapat menerima apa yang berlaku. Sejurus selepas itu, saya mendapat panggilan dari keluarga di tanah air. Perasaan menjadi lega dan kembali stabil. Alhamdulillah, segala syukur saya panjatkan kepada kepada Allah S.W.T. Dialah yang bisa membolak-balikkan hati. Zat yang bisa menyempitkan dan melapangkan sesiapa yng dikehendaki-Nya. Saya berdoa pada-Nya agar mengekalkan ketenangan ini...biarpun sesekali terasa 'kehilangan sesuatu' setiap kali menjengah ke pintu bilik..namun saya amat yakin dan percaya, Allah itu maha Adil, tidak menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia...Pasti dan PASTI, ada HIKMAHNYA.

    Segalanya tersurat pada suatu lakaran terindah, yang unik buat empunya diri. Mungkin, mata kasar yang culas tidak bisa melihat "keindahan" sulaman taqdir yang menimpa ini, tetapi yakinlah dari pandangan Allah, ia adalah coretan terbaik, istimewa buat insan bernama manusia.

    Peristiwa kali ini benar-benar mengajar saya, bahawa harta dunia ini hanya PINJAMAN semata-mata. Semuanya HAK ALLAH. DIA bisa mengambilnya bila-bila masa mengikut kehendak dan kebijaksanaan-Nya. Andai kita cinta pada dunia, PASTI dan pasti kita akan menangisinya. Kala ini saya cuba mencermin kembali watak-watak manusia yang berusaha siang dan malam mengumpul harta kekayaan, sehingga terkadang menngakibatkan kesusahan kepada orang lain dan mengabaikan tanggungjawab agama. Alangkah kasihannya mereka, punya matlamat hidup yang singkat dan tidak tentu lagi mampu digapai oleh tulang empat kerat...

     Walaubagaimana pun, saya sedaya upaya cuba menanamkan yakin di dalam hati, bahawa setiap sesuatu yang diambil, Allah akan menggantikannya dengan gantian yang jauh lebih baik, andai kita sabar, ikhlas dan redha...Saya akhiri entri ini dengan lirik sebuah nasyid yang penuh bermakna....

" Apa yang ada jarang disyukuri
Apa yang tiada sering dirisaukan
Nikmat yang dikecap barukan terasa
Bila hilang di dalam genggaman

Apa yang diburu timbul rasa jemu
Bila sudah di dalam genggaman

Dunia ibarat air laut
Diminum hanya menambah haus
Nafsu bagaikan fatamorgana
Indah di mata namun tiada

Panas yang membahang disangka air
Dunia dan nafsu bagai bayang-bayang
Dilihat ada ditangkap hilang

Tuhan leraikanlah dunia
Yang mendiam di dalam hatiku
Kerana di situ tidak ku mampu
Mengumpul dua cinta

Hanya cinta-Mu
Ku harap tumbuh
Dibajai bangkai nafsu yang kubunuh"

p/s: Ada pepatah yang saya ubah, sayang ilmu ajar-ajarkan, sayang harta sedekah-sedekahkan..moga diri kita tenang di dalam rahmat Allah yang berkekalan...

September 11, 2006

Belajar biar berguru..

Salam...

mohon maaf kepada sesiapa yang membaca entri "Amalan membaca Al-Quran ketika haid" yang saya post tempoh hari. Sesungguhnya kesilapan besar yg saya lakukan kerana meletakkannya tanpa merujuk kepada yang lebih arif terlebih dahulu. Bagi saya, (berdasarkan apa yang pernah saya belajar) hujah yang diberikan meyakinkan. Namun saya sedar, hendak belajar perlulah berguru...Guru yang kita yakin dengan ilmunya...Maaf atas segala kesulitan, kepeningan dan ketensionan. Segalanya amat dikesali sekali....

September 09, 2006

"Selembar seerah secangkir kisah."

Hilang duka..pagi ini ceria mentari menyiramkan sinarnya. Terasa amat syukur atas nikmat alam buana yang indah permai ini. . Sebenarnya, bukan sahaja mengingati Allah dengan berzikir, hati akan menjadi tenang, bahkan melihat kepada alam semesta yang sentiasa taat dan berzikir pada Allah juga, hati akan terasa damai....Pastilah bahawa Allah tidak menciptakan sesuatu itu secara sia-sia.Alhamdulillah..

Sesi 'keluarga' pagi ini telah menyajikan pelbagai santapan minda dan rohani yang 'mengenyangkan'. Bermula dari terjemahan surah Ali-Imran (3:153-170), menyaksikan bagaimana konsep syura yang dianjurkan oleh Islam begitu efisyen dan praktikal dalam menghasilkan sebuah keputusan yang berkesan. Lihat sendiri contoh ketika nabi bersyura bersama sahabat lewat kedatangan musyrikin Mekah yang ingin menyerang Madinah semasa perang Uhud. Walaupun baginda seorang nabi, namun keputusan syura majoriti sahabat tetap diutamakan. Umat Islam keluar dari Madinah untuk berperang. Pastilah mempunyai hikmah yang tersendiri di sebaliknya. (Two heads are better than one, right?)

Menyusuri seerah perang Khandaq,terlalu banyak pengajaran agung yang dapat dipetik dan diamalkan. Pertama, kita bukan sahaja perlu menjadi seorang Mukmin, tetapi Mukmin yang Professional. Arif dalam tindakan. Menggunakan pelbagai sumber yang ada sehinggakan tentera Musyrikin mengatakan bahawa taktik yang digunakan (digging trench) tidak pernah dilihat sebelum ini dan mereka tidak tahu bagaimana untuk melepasinya.. Kedua, kebijaksanaan Rasulullah mententeramkan para sahabat yang sedang di dalam ketakutan ketika itu dengan menghantar 4 sahabat untuk berunding dengan Kaum Yahudi Bani Quraizah. "Seandainya mereka (Yahudi) bersama-sama (allied with) orang Islam, maka sebarkanlah seluas-luasnya kepada kaum Muslimin. Namun andai sebaliknya, hanya khabarkan pada Rasulullah seorang sahaja". Namun sejarah menyaksikan bahawa Yahudi adalah satu bangsa yang tidak pernah taat kepada Rasul, dengan mudah mereka berkhianat serta memecah perjanjian. Umat Islam berhadapan dengan 3 musuh utama: Tentera Musyrikin di utara Madinah, Yahudi di selatan dan orang-orang Munafiq di pertengahan!!..di kalangan mereka sendiri.. Dalam keadaan yang tegang dan tertekan, para sahaabat ketika itu tidak mudah hilang harga diri untuk menyerahkan sepertiga hasil tanaman kurma kepada kaum yahudi sebagai ganti mereka berundur dari medan peperangan. Penyerahan ini bererti mereka menjatuhkan maruah dan air muka di tangan kaum Yahudi. Hal ini menunjukkan betapa mereka berpegang kuat kepada tali Islam, mempertahankan keISLAMan mereka walau apa jua keadaan. Cuba kita bandingkan dengan masyarakat Islam hari ini. Fikirlah sendiri. Contohnya, jika ancaman dan gangguan dijadikan alasan untuk membuka hijab ketika belajar di luar negara, maka ukurlah sendiri tahap keimanan kita. Bumi Allah sangat luas terbentang. Belajarlah daripada seerah. Mereka menggenggam Islam ibarat menggigitnya dengan geraham. Mereka tidak punya harta, anak pinak yang ramai, pendidikan yang tinggi, tetapi mereka percaya hanya janji Rasulnya..

Kala kesusahan, mudah untuk kita menggambarkan kesenangan dan beramal untuk nikmat di syurga...namun mengapa ketika senang, kita hampir lupa kesemuanya? Allah itu Tuhan yang sama ketika kita senang atau susah. Mengapa perlu ada double standard dalam menghambakan diri kepadanya?

Islam itu agama fitrah. Ia diturunkan sesuai dengan harmoni manusiawi yang inginkan kebaikan dan kesejahteraan. Kembali kepada Islam bererti kembali kepada fitrah kita yang benar, bukan menjadi KERAS atau jumuD, kerana kita adalah umat pertengahan (Ummatan Wasatan). Kembali kepada Islam bererti kembali menjadi umat yang agung seperti mana pernah dicapai oleh Sultan Muhammad Al-Fateh, Umar Abdul Aziz dan banyak lagi. Mereka telah membuktikan bahawa umat Islam adalah umat terbaik, kini giliran kita telah pun tiba...mengapa perlu terleka lagi?

p/s: Suatu peringatan buat diriku yang sering lupa..Do more than touch, FEEL. Do more than look, OBSERVE. Do more than hear, LISTEN. Do more than read, COMPREHEND. Do more than talk, COMMUNICATE. Do more than know, UNDERSTAND. Do more than think, REFLECT. Do more than exist, LIVE. Do more than dream, REALIZE. Do more than be, be the BEST you can.

September 07, 2006

Inilah kehidupan

Kesabaran..

Sabar dan terus bersabar. Bersabarlah dengan kesabaran yang cantik. Sedangkan nabi diuji dengan beratnya setiap hari, inikan pula sekadar perkara remeh yang melarikan kita daripada tanggungjawab sebenar. Mungkin juga ini balasan akibat melalaikan amanah sebagai khalifah di muka bumi ini. Hidup di dunia bak bahtera di lautan gelora. Tiada tentu ia bermaharajalela. Kala tenang, ramai yang alpa. Namun, pabila badai menunjukkan diri yang sebenar, maka bersungguh-sungguhlah terkumat kamit memohon perlindungan dari yang Esa. Bejujuran air mata keinsafan, seumpama kehidupan sudah sampai ke penghujungnya. Terpatrilah janji akan hidup sebagai hamba yang taat setiap masa.  Lalu Allah dengan sifat Rahman-Nya menyelamatkan kita. Alhamdulillah. Tetapi...hakikatnya manusia kembali lupa dengan nikmat kesenangan yang mendatang. Begitulah silih berganti putaran kehidupan seorang insan bernama manusia.

Teringat akan pesanan Golden Rule: Do on to others what you want others do on to you. Vice versa. Hubungan sesama manusia sebagai titik pengukur tahap iman dan akhlak kita kepada Allah. Lantaran Allah tidak akan mengampunkan, selagi manusia itu tidak memaafkan. Seandainya seseorang menghadiahkan kita sesuatu, maka sebagai manusia normal, kita akan berterima kasih dan menunjukkan rasa terima kasih itu. Lebih-lebih lagi jika ia datang dari seseorang yang 'significant' dalam hidup kita. Namun ada juga manusia yang menyakiti hati si pemberi, seolah-olah dia tidak pernah membawa apa-apa erti dan segala yang dilakukannya adalah remeh belaka. Bercakap sombong merasakan seolah-olah dirinya yang benar. Seakan memberitahu dunia aku lah manusia yang paling betul dalam tindakan. Sekali kita melukakan hati seseorang, ibarat menanam paku di dinding yang bersih. Biarpun kita mampu mencabutnya dengan secebis kemaafan yang mudah dilafazkan, namun belum tentu kita mampu menutup kembali kesan yang ditinggalkan. Manusia bukan malaikat. Sebaik mana pun pastilah mempunyai titik hitam di hati. Andai kita merasakan membuat seseorang terluka itu sesuatu yang remeh, maka ia dengan sendirinya mencerminkan siapa diri kita yang sebenar.

Hitunglah diri sebelum kita dihitung di akhirat nanti. Azab Allah itu amat berat, kita tidak mampu sama sekali menanggungnya. Seandainya telah sampai peringatan kepada kita untuk melakukan kema'rufan dan meninggalkan kemungkaran, maka bersegreralah. Janganlah menolak lagi. Kita tidak cukup hebat untuk merasakan diri ini betul. Bimbang kita tidak punya cukup masa untuk memperbaiki segalanya. Hidup hanya sekali. Ia punya tujuan yang pasti. Jangan tersasar lagi. Dosa yang telah dilakukan, Allah menutupnya dari keaiban. Maka bersyukurlah dan bertaqwalah. Sesungguhnya yang paling mulia adalah yang paling tinggi sifat taqwanya....