BENARKAH HAWA MEMUJUK ADAM MEMAKAN BUAH KHULDI ?
Muhammad Hanief Awang Yahaya
Allah
s.w.t. menempatkan Nabi Adam dan isterinya di dalam syurga sebelum
mereka berdua dihantar ke dunia ini. Di tempat yang indah itu, Allah
s.w.t. menghalalkan kepada mereka berdua makanan-makanan kecuali buah
dari satu pohon. Tipu daya Iblis menyebabkan mereka berdua memakannya
lalu bermulalah kehidupan manusia di dunia ini.
Umum
tersebar bahawa Hawa telah memujuk Adam memakan buah tersebut. Hal ini
disebutkan oleh Ibn Hajar al-`Asqalani ketika menghuraikan hadis
berikut:
عن أبي هريرة رضي الله عنه، عن النبي صلى الله عليه وسلم : ولولا حواء لم تخن أنثى زوجها.
Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah s.a.w.: “Dan kalaulah tidak kerana Hawa, perempuan tidak akan mengkhianati suaminya.”
Kata
Hafiz Ibn Hajar: “Di dalam hadis ini terdapat isyarat bahawa peristiwa
yang berlaku kerana Hawa memberi gambaran yang indah tentang pokok itu
kepada Adam lalu berlakulah apa yang telah berlaku. Makna khianat Hawa
ialah dia telah menerima bujukan Iblis lalu memujuk Adam pula. Oleh
kerana Hawa ibu kepada sekalian wanita dan paling serupa dengan Hawa
dari segi melahirkan anak, maka hampir tidak seorang wanitapun yang
terselamat dari menderhaka kepada suaminya sama ada dengan ucapan atau
perbuatan. (Fath al-Bari, jil. 6 hal. 515)
Dalam
menjelaskan maksud hadis ini, Hafiz ibn Hajar tidak merujuk kepada
mana-mana riwayat hadis atau pendapat sahabat. Penjelasan beliau
bukanlah sesuatu yang dapat difikirkan dengan aqal semata-semata.
Dengan kata lain, penjelasan ini bukan berdasarkan kepada ijtihad
tetapi pasti bersumberkan mana-mana riwayat. Tentu sekali beliau
mempunyai sumbernya yang tersendiri. Apabila beliau tidak menunjukkan
mana-mana riwayat hadis, tentu sekali sumbernya ialah riwayat
Israiliyyat. Kalau diandaikan adanya riwayat maka riwayat itu tidak
sahih kerana bercanggah dengan fakta-fakta al-Quran.
Dengan merujuk kepada al-Quran segala kepalsuan dan kepalsuan riwayat tersebut akan terdedah. Allah s.w.t. berfirman:
فَوَسْوَسَ
لَهُمَا الشَّيْطَانُ لِيُبْدِيَ لَهُمَا مَا وُورِيَ عَنْهُمَا مِنْ
سَوْآَتِهِمَا وَقَالَ مَا نَهَاكُمَا رَبُّكُمَا عَنْ هَذِهِ الشَّجَرَةِ
إِلَّا أَنْ تَكُونَا مَلَكَيْنِ أَوْ تَكُونَا مِنَ الْخَالِدِينَ
Lalu
syaitan menghasut mereka berdua (memakan buah pokok larangan) dengan
tujuan untuk mendedahkan aurat mereka yang selama ini terlindung dari
mereka, lalu ia berkata: Tuhan kamu tidak melarang kamu mendekati pokok
ini melainkan supaya kamu tidak menjadi malaikat atau tidak menjadi
dari kalangan mereka yang hidup kekal abadi. (al-A`raf: 20)
Dalam
ayat ini jelas bahawa syaitan yang menghasut Adam dan Hawa bukan
syaitan menghasut Hawa kemudian Hawa menghasut Adam pula. Dalam surah
Taha, ayat 120, penafian bahawa Hawa tidak memujuk Adam lebih jelas
lagi:
فَوَسْوَسَ إِلَيْهِ الشَّيْطَانُ قَالَ يَا
آَدَمُ هَلْ أَدُلُّكَ عَلَى شَجَرَةِ الْخُلْدِ وَمُلْكٍ لَا يَبْلَى
Lalu
syaitan membisikkan fikiran yang jahat kepadanya dengan katanya: Wahai
Adam! Mahukah aku tunjukkan kepadamu pokok hidup kekal dan kerajaan
yang tidak akan musnah? (Taha: 120)
Syaitan, bukannya Hawa, yang menghasut Nabi Adam dengan menimbulkan waswas dan memberi sumpah yang palsu.
وَقَاسَمَهُمَا إِنِّي
لَكُمَا لَمِنَ النَّاصِحِينَ .
فَدَلَّاهُمَا بِغُرُورٍ فَلَمَّا ذَاقَا الشَّجَرَةَ بَدَتْ لَهُمَا
سَوْآَتُهُمَا وَطَفِقَا يَخْصِفَانِ عَلَيْهِمَا مِنْ وَرَقِ الْجَنَّةِ
وَنَادَاهُمَا رَبُّهُمَا أَلَمْ أَنْهَكُمَا عَنْ تِلْكُمَا الشَّجَرَةِ
وَأَقُلْ لَكُمَا إِنَّ الشَّيْطَانَ لَكُمَا عَدُوٌّ مُبِينٌ
Dan
dia (syaitan) bersumpah kepada mereka berdua: Sesungguhnya saya
termasuk dalam kalangan orang yang memberi nasihat kepada kamu berdua.
Maka syaitan membujuk keduanya (untuk memakan buah itu) dengan tipu
daya. Tatkala keduanya telah merasai buah tersebut nampaklah bagi
mereka berdua aurat masing-masing dan mereka berdua mulai menutupinya
dengan daun-daun syurga. Kemudian Tuhan menyeru mereka berdua: Bukankah
Aku telah melarang kamu berdua dari pokok itu dan Aku katakan kepada
kamu berdua, sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu
berdua. (al-A`raf: 21-22)
Allah
s.w.t menegur Adam kerana lupa kepada janji bukan kerana menerima
pujukan Hawa dan Hawa pula tidak ditegur oleh Allah kerana kesalahannya
mengkhianati suaminya.
Al-Sabuni
menukilkan daripada Tafsir al-Tabari dan Tafsir Ibn Kathir bahawa Ibn
Abbas berkata: “Syaitan memperdayakan mereka berdua dengan sumpah. Adam
menyangka bahawa tidak seorangpun berani berdusta dalam bersumpah
dengan nama Allah lalu syaitan memperdayakan mereka berdua dengan
sumpahnya.” (Safwah al-Tafasir, jil. 1 hal. 439)
Bagaimana penafsiran hadis al-Bukhari yang menyabitkan Hawa mengkhianati Adam?
Berlaku tashif dalam meriwayatkan hadis ini iaitu kesilapan dalam hurf خ yang sepatutnya huruf ح. Tashif ialah pengubahan perkataan di dalam hadis.
عن أبي هريرة رضي الله عنه، عن النبي صلى الله عليه وسلم: ولولا حواء لم تحن أنثى زوجها).
Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah s.a.w: “Dan kalaulah tidak kerana Hawa, perempuan tidak akan merindui suaminya.”
Meriwayatkan hadis ini dengan huruf ح
lebih tepat dan lebih sesuai dengan fitrah kejadian kaum wanita. Sifat
rindu dan setia kepada suami terdapat pada setiap wanita tanpa mengira
agama dan bangsa.
Menisbahkan
setiap khianat yang dilakukan oleh wanita kepada Hawa adalah sesuatu
yang tidak adil dan bercanggah dengan akal yang sejahtera dan fitrah
yang suci.
Apabila
kita mengenepikan nas-nas al-Quran dengan menerima riwayat Israiliyyat
dan menafsirkan hadis berdasarkan Israiliyyat, maka kita telah
merendahkan kedudukan wanita. Seolah-olah merekalah punca kerosakan dan
dosa orang lain. Sedangkan satu jiwa tidak sekali-kali menanggung dosa
orang lain. Dari satu sudut pula, riwayat ini menyerupai konsep dosa
warisan yang menjadi doktrin agama Kristian iaitu setiap jiwa tidak
bersih dan Nabi Isa yang telah menebus dirinya untuk menyucikannya. (Al-Mawsu`ah al-Muyassarah Fi al-Adyan wa al-Mazahib al-Mu`asarah, hal. 504)

assalamualaikum jemputlah ke http://www.lindunganbulan.blogspot.com dan http://www.karyamuslim.blogspot.com
Posted by: meowsoleh | December 6, 2006 07:41 AM